| PPKE tunai zakat RM53,323.75 |
|
|
|
|
Utusan malaysia MERSING 23 Julai - Pertubuhan Peladang Kawasan Endau (PPKE) menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan 2010 di sini kelmarin. Kadi Daerah Mersing, Bahrin Jalal yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima bayaran zakat perniagaan tersebut daripada PPKE bagi tahun berakhir 2009 sebanyak RM53,323.73 yang disampaikan oleh Pengerusinya, Ab. Razak Hitam. Ab. Razak berkata, bayaran zakat perniagaan tersebut adalah hasil keuntungan melebihi RM2 juta yang dicatatkan PPKE tahun 2009. "Sebagai menunaikan tanggungjawab rukun islam kelima itu, PPKE tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya pada setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat di sini semalam. Tambah beliau, bayaran zakat PPKE meningkat lebih sekali ganda berbanding tahun lalu sebanyak RM22,459.00 sahaja. "Ini menunjukkan PPKE mampu meningkatkan hasil pendapatannya setiap tahun dan faedahnya turut dirasai oleh semua ahli dalam bentuk bayaran dividen saham mereka," katanya. Turut hadir dan merasmikan majlis Mesyuarat Agung Tahunan 2010 PPKE itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad yang juga Ahli Parlimen Mersing. Sementara itu, Bahrin berkata, pertubuhan dan syarikat lain disarankan mencontohi PPKE yang tidak lupa menunaikan bayaran zakat perniagaannya setiap tahun. Katanya, dengan membayar zakat insya-Allah, keberkatan akan bertambah dan tidak akan mengurangkan harta yang dimiliki malah akan digandakan oleh Allah SWT. "Hasil bayaran zakat ini akan disalurkan kepada asnaf yang yang layak dan saya mendoakan semoga Allah SWT menggandakan lagi keuntungan PPKE pada tahun ini. "Zakat membawa berkat," katanya ringkas. |
| < Sebelum | Seterusnya > |
|---|


















