| PPK Pontian Tengah beri rebat kepada petani |
|
|
|
|
Utusan malaysia PONTIAN 22 Julai - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pontian Tengah membayar rebat sebanyak RM40,000 tahun lalu kepada petani yang menjual kelapa sawit kepada pihaknya. Pengerusinya, Rahmat Manidi berkata, selain menjual kelapa sawit, para petani yang membeli input pertanian seperti baja, racun dan peralatan di Kedai Peladang juga menerima rebat. Beliau berkata, bayaran rebat tersebut bagi menghargai sokongan yang diberikan kepada PPK yang kini terpaksa bersaing dengana peraih kelapa sawit swasta. Menurutnya, walaupun menghadapi persaingan, namun ahli-ahlinya terus memberikan kepercayaan kepada PPK Pontian Tengah bagi membeli dan menjual hasil pertanian mereka. "Begitu juga dengan penjualan input dan bahan pertanian, kami juga mendapat sokongan daripada mereka walaupun ia turut dijual oleh pihak lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Rahmat berkata, penerima tertinggi ialah seorang petani yang menerima RM1,800 rebat tunai yang tidak diberikan oleh peraih atau pembeli kelapa sawit lain. "Rebat ini juga sebagai galakan dan dorongan agar terus menjual hasil keluaran mereka kepada PPK kerana menerima faedah sampingan," katanya. Katanya, PPK Pontian Tengah berjaya mendapat keuntungan sebanyak RM285,000 pada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2009. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, namun penglibatan dalam pelbagai aktiviti ekonomi yang dilakukan berjaya membawa keuntungan kepada PPK berkenaan, katanya. "Selain aktiviti utama membeli dan menjual kelapa sawit, kami juga menggalakkan ahli-ahli melibatkan diri dalam aktiviti pertanian lain seperti tanaman sayur-sayuran, tanaman kontan, nanas dan sebagainya," katanya. |
| < Sebelum | Seterusnya > |
|---|



















