Webmail

Login Form






Hilang Katalaluan?
IAT dianjurkan setiap dua tahun PDF Print E-mail

Utusan Malaysia
ARKIB : 07/06/2010

MELAKA 6 Jun - Kerajaan negeri bercadang menjadikan penganjuran Karnival Usahawan Industri Asas Tani (IAT) di Kota Fesyen di sini setiap dua tahun dalam usaha meningkatkan lagi kualiti dan hasil pengeluaran pertanian di kalangan usahawan tani di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, berkata, penganjuran karnival itu secara besar-besaran juga secara tidak langsung akan menjadi medan terbaik menghimpunkan usahawan tani di negeri ini untuk bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman. Tambahnya, karnival IAT di peringkat negeri ini amat penting kepada usahawan serta kerajaan negeri di samping dapat mempromosikan ruang niaga di Kota Fesyen.

"Sebab itu, saya mencadangkan IAT dijadikan acara dua tahun sekali supaya usahawan tani di negeri ini akan berusaha lebih gigih bagi meningkatkan hasil pengeluaran mereka. "Selain dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti, karnival ini juga akan membuatkan usahawan sentiasa bersaing secara sihat untuk mendapat tempat di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan IAT peringkat negeri di Kota Fesyen 1, Ayer Keroh di sini hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohd. Hidhir Abu Hasan dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri, Sulaiman Embong. Sebanyak 65 gerai pameran dan jualan produk pertanian diadakan pada karnival selama tiga hari itu bermula semalam. Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari itu disertai 65 gerai pameran dan jualan pelbagai produk pertanian. Ia beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Mohd. Ali pada masa sama menasihatkan usahawan bumiputera supaya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka. Beliau sebaliknya meminta golongan itu supaya menggunakan konsep kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (KKPA) untuk berusaha gigih memajukan bidang perniagaan diceburi bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

"Cuba kita lihat usahawan bukan bumiputera, kebanyakan mereka bukan saja bijak menguasai bidang berkenaan tetapi cekal menghadapi setiap cabaran hingga mencapai kejayaan. "Namun, berani dan bersemangat tinggi saja tidak cukup untuk maju dalam bidang perniagaan kecuali memiliki pengetahuan yang luas," katanya. Tambahnya, usahawan juga perlu berani menerokai bidang baru, menambah ilmu dan kemahiran secara berterusan. Selain itu, katanya, sistem kerja teratur terutamanya dalam pengurusan, pasaran dan kewangan perlu dijadikan amalan bagi membolehkan mereka bersaing dalam dunia perniagaan yang semakin berkembang.

 

 
< Sebelum   Seterusnya >