|
44 pelajar cemerlang dirai |
|
|
|
|
Utusan Malaysia ARKIB : 30/05/2010
KOTA TINGGI 29 Mei - Seramai 44 pelajar yang berjaya peroleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama diraikan pada Majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur Kali Ke-14, baru-baru ini.
Mereka terdiri daripada anak-anak ahli PPK Kota Tinggi Timur termasuk 17 pelajar yang berjaya dan terpilih melanjutkan pengajian ke universiti di peringkat diploma dan ijazah. Bertempat di Dewan Sri Mahkota Perumahan Tersusun, Kampung Sungai Tuan Sheh masing-masing menerima sijil penghargaan dan wang tunai antara RM60 hingga RM450 sumbangan PPK Kota Tinggi Timur dan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Sedili, Rasman Ithnin.
Menurut Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kota Tinggi Timur, Mohd. Sebalas Mohd., anugerah tersebut merupakan agenda tahunan pertubuhan yang bertujuan mengiktiraf serta menggalakkan pencapaian cemerlang pendidikan di kalangan anak-anak ahli pertubuhan peladang itu. "Seterusnya diharapkan agar anugerah ini menjadi dorongan kepada anak-anak supaya berlumba-lumba mencapai kecemerlangan dalam pelajaran," katanya pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Mohd. Yusof Md. Salleh; Pegawai Peladang Daerah, LPP Johor Timur, Abdul Jalil Bukhairah dan Pengurus Besar PPK Kota Tinggi Timur, Noorzaini Muhammad Zain. Mohd. Sebalas berkata, sebagai harapan keluarga, pelajar mempunyai tanggungjawab dan peranan dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.
Beliau seterusnya berharap agar pelajar tidak hanya cemerlang dalam aspek akademik tetapi meningkatkan kualiti diri seperti sahsiah terpuji, semangat jati diri serta semangat patriotisme cintakan negara.Pada majlis tersebut, turut disampaikan Anugerah Galakan Peladang (AGP) dengan Unit Peladang Kampung Tuan Sheh muncul tempat pertama bagi Anugerah Peningkatan Pemasaran Buah Tandan Segar (BTS) Terbaik dan Anugerah Skim Kredit Ladang Terselia Terbaik (SKLT) diikuti Unit Peladang Kampung Gembut tempat kedua dan Unit Peladang Sri Jaya tempat ketiga. |