Webmail

Login Form






Hilang Katalaluan?
NS beri penekanan isu keselamatan makanan PDF Print E-mail

Utusan Malaysia

REMBAU 28 Mei - Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu 'keselamatan makanan' kerana ia mempunyai hubung kait dengan kehidupan harian.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebab itulah kerajaan negeri memberi penekanan khusus berhubung aspek keselamatan makanan supaya sumber makanan tempatan dapat terus dikembangkan bagi menampung keperluan rakyat. ''Kita bukan bercakap soal keselamatan ketenteraan, tetapi perihal makanan. ''Sumber makanan kita perlu banyak seperti padi, jagung, tanaman sayur-sayuran dan sebagainya supaya jika berlaku krisis kelak, penduduk tidak perlu merintih simpati daripada negeri lain," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-31 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Daerah Rembau di Dewan Sri Rembau di sini semalam.

Katanya, kalau dahulu Negeri Sembilan boleh menyumbang lebihan dalam keperluan harian melalui hasil daripada telur ayam dan ayam daging, tetapi dijangka pada tahun 2015, penduduk tidak lagi bergantung pada pengimportan bahan makanan. ''Sekarang sudah banyak usaha dilakukan oleh kerajaan negeri, termasuk wujudnya lembah daging, ladang satelit, ladang rakyat, pelbagai pertanian serta perikanan, malahan kita mahu hasil padi dipertingkatkan daripada 20 peratus kepada 40 peratus menjelang tahun 2012. ''Apa yang kita mahu ialah penghasilannya ditambah untuk satu jumlah yang mampu menampung keperluan rakyat supaya produk makanan tidak perlu diimport lagi sekali gus mengurangkan kos berganda dalam pengimportan makanan," katanya.

Mohamad pada masa yang sama juga memberitahu, ketika ini negara yang maju sekali pun menitikberatkan sumber makanan sendiri bagi menyara kehidupan rakyatnya. ''Negara yang hebat dengan teknologi seperti Jepun dan Korea Selatan pun, tidak meninggalkan aspek pertanian, penternakan dan perikanan sendiri. ''Malahan mereka menggunakan teknologi moden untuk mengusahakan produk makanan bermutu, malahan mampu mengeksport ke luar negara," jelasnya.

Sebab itulah, kata Mohamad, kerajaan negeri tidak mahu terlalu ghairah membangunkan sektor infrastruktur tetapi melupakan perihal makanan untuk rakyat. Pada masa yang sama Mohamad turut mengumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju supaya Negeri Sembilan menganjurkan Mini MAHA sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri akan datang.

Dalam majlis semalam, lebih 300 ahli PPK Daerah Rembau yang mewakili 34 unit PPK masing-masing hadir pada mesyuarat agung berkenaan. Ahli PPK Daerah Rembau ketika ini ialah seramai 4,000 orang.

 
< Sebelum   Seterusnya >