|
Utusan Malaysia
REMBAU 27 Mei - Tanaman jagung manis berupaya meningkatkan hasil pengusahanya berbanding mangga jenis chokanan yang diusahakan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, potensi jagung manis ini lebih baik berbanding mangga jenis itu yang terpaksa menunggu satu tempoh lama untuk menuainya. ''Kadangkala mangga chokanan ini memerlukan waktu lebih lama untuk mendapatkan hasilnya, malahan bukan semuanya baik. ''Ini telah menyebabkan banyak pengusaha mengalami kerugian, walaupun mangga ini mampu menghasilkan jus, kordial, sos buah-buahan, gula-gula, jeruk, jem, jeli dan sebagainya," katanya di sini hari ini. Mohamad berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-31 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Daerah Rembau, di Dewan Sri Rembau, dekat sini hari ini.
Katanya, dengan tanaman jagung manis ini, ia bukan sahaja berupaya menarik lebih banyak permintaan, tetapi menyaksikan proses tuaian yang lebih pantas dalam tempoh setahun. ''Hasil jagung ini boleh diperoleh dalam tempoh tiga atau empat bulan. Isinya juga manis dan sedap," katanya. Projek tanaman jagung manis dari benih Hybrid-Variety 338 dan 926, ini diusahakan oleh PPK Daerah Rembau sejak 1998 di bawah program peningkatan pengeluaran bahan makanan asas dengan geran waktu itu sebanyak RM115,000, selain sumber kewangan PPK Daerah Rembau sebanyak RM30,000. Ia diusahakan di satu kawasan lapang di Kampung Dato' Hijau, Chembong dekat sini dengan keluasan tanah 12.14 hektar. Pada 2002, PPK Daerah Rembau telah menerima peruntukan RM100,000 ditambah dengan sumber dalaman PPK ini RM20,000 untuk membangunkan kawasan baru di Kampung Batu Hampar dekat sini dengan keluasan tanah lebih 8.09 hektar.
Tahun lalu, PPK sama menerima bantuan RM55,000 dan sumber dalaman sebanyak RM10,000 bagi menambah kawasan di Kampung Batu, dekat sini seluas lebih 4.04 hektar. Pada tahun ini, PPK ini juga diberi peruntukan tambahan RM124,000 bagi menambah kawasan di Kampung Rendah, dekat sini dengan keluasan lebih 8.09 hektar. Apa yang menarik, projek ini telah memperoleh Sijil MS ISO 9001:2000 pada tahun 2008 dan kekal sehingga ke hari ini, selain menerima Anugerah Inovasi Bagi Pengurusan Projek Terbaik Kebangsaan 2009 di bawah kategori sayur-sayuran.
''Pemilihan produk jagung manis ini sebagai produk di bawah Program Satu Daerah, Satu Industri bagi daerah Rembau adalah amat bertepatan bagi menggantikan mangga chokanan," kata Mohamad. |