|
Utusan Malaysia ARKIB : 24/05/2010
PASIR PUTEH 23 Mei - Pelbagai kaedah boleh dilaksana untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi jika pesawah sedia berubah dan tidak terperangkap dengan pemikiran 'sekadar cukup makan'.
Amalan pengurusan tanaman yang sistematik, penggunaan teknologi terkini, penggunaan benih bermutu dan terjamin seperti diamalkan oleh pesawah komersial terutama di luar negara, dapat mengurangkan kos namun hasil yang diperoleh adalah tinggi.
Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak dekat sini berusaha mempraktikkan pendekatan baru dengan memilih teknologi Jepun bagi penanaman padi yang ternyata mulai memperlihatkan perkembangan memberangsangkan.
Ia menggunakan sistem tapak semaian konkrit bagi memastikan anak benih yang akan dipindah ke bendang, subur dan cepat membesar sekali gus meninggalkan amalan sistem 'mencedung' menggunakan tangan atau menggunakan kaedah menabur terus biji benih ke bendang.
Kini mereka hanya perlu mengendalikan jentera untuk menanam anak benih padi yang menggunakan kaedah semaian dulang di dalam takungan konkrit simen itu. PPK memiliki tiga unit jentera penanaman itu yang bernilai RM150,000,
Pengerusi PPK Semerak, Tuan Mahmood Tuan Muhamed berkata, penggunaan teknologi moden yang diperkenalkan oleh IADA Kemasin Semerak dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) membolehkan tenaga kerja pesawah digembleng bagi menjayakan pelaksanaan estet mini padi. Malah ia dapat menebus guna semula tanah sawah yang terbiar dengan tanaman sebanyak dua kali setahun.
"Setakat ini PPK Semerak menyediakan 54 petak tapak semaian konkrit yang mampu menampung 12,320 dulang benih dan boleh ditanam di kawasan seluas 56.58 hektar bagi satu pusingan," ujarnya. Menurutnya, bagi menyubur dan mempercepatkan pembesaran benih, sekam arang yang dihasilkan daripada proses pembakaran menggunakan mesin pembakar dijadikan alas.
"Penggunaan bahan ini menjadikan anak padi kuat dan tumbuh sekata. Faktor ini membolehkan anak padi yang berusia 15 hingga 20 hari dapat digulung dan dihantar ke bendang dalam masa yang singkat bagi proses penanaman. "Cara moden ini juga memerlukan cara pengubahan anak padi dilakukan dengan menggunakan mesin khas iaitu transplanter," katanya ketika ditemui di Pusat Pembenihan Padi Konkrit di PPK Semerak dekat sini baru-baru ini.
Dalam proses pemilihan, benih direndam dan dicampur bahan penggalak akar untuk proses percambahan sebelum disejat dan ditabur rata di atas sekam dan seterusnya benih padi ditutup dengan sebahagian lagi baki sekam yang tinggal. "Kemudiannya dulang yang mengandungi sekam bersama anak padi disiram serta disusun bertingkat-tingkat dan ditutup. Selepas tiga hari anak-anak padi akan dipindahkan ke tapak semaian konkrit dan ditutup dengan plastik pelindung dengan tembusan cahaya 30 peratus selama dua hari.
"Proses membaja untuk pertumbuhan pokok dan pembiakan akar juga perlu dilakukan selain kerja penukaran air di tapak semaian sebanyak tiga hari sekali supaya tapak semaian tidak berlumut dan dapat mempercepatkan pertumbuhan akar. ''Pada hari ke-15, tapak semaian perlu dikeringkan dan pada hari ke-20 anak padi sudah boleh digulung dan dibawa ke bendang untuk proses penanaman," katanya.
Tuan Mahmood memberitahu, kepakaran Pengurus Besar LPP Semerak, Mozamir Hussein dalam kerja penanaman padi turut melicinkan pelaksanaan mini estet padi menggunakan kaedah moden yang dimulakan sejak 2009 lagi. Menurutnya, pada tahun 2009 sebanyak 378 hektar sawah meliputi Bendang Tugalan-Kampung Besar, Bendang Che Kob-Kok Hin, Bendang Sepulau-Tok Kambing, Bendang Peraksi-Beris Chalok, Bendang Golok-Gong Manok dan Tok Yah telah mengusahakan tanaman padi cara moden yang melibatkan 172 ahli PPK Semerak.
Katanya, bagi musim pertama tahun ini seluas 200 hektar bendang contoh dibangunkan dengan melibatkan 40 peserta di Golok-Gong Manak, 20 peserta di Bendang Peraksi-Beris Chalok dan 21 peserta di Bendang Tanjung yang sedang memulakan penanamannya sekarang. |